Pada zaman dahulu Sang Kancil adalah
merupakan binatang yang paling cerdik di dalam hutan. Banyak
binatang-binatang di dalam hutan datang kepadanya untuk meminta
pertolongan apabila mereka menghadapi masalah. Walaupun ia menjadi
tempat tumpuan binatang- binatang di dalam hutan, tetapi ia tidak
menunjukkan sikap yang sombong malah sedia membantu pada bila-bila masa
saja.
Suatu hari Sang Kancil berjalan-jalan di
dalam hutan untuk mencari makanan. Oleh kerana makanan di sekitar
kawasan kediaman telah berkurangan Sang Kancil bercadang untuk mencari
di luar kawasan kediamannya. Cuaca pada hari tersebut sangat panas,
menyebabkan Sang Kancil berasa dahaga kerana terlalu lama berjalan, lalu
ia berusaha mencari sungai yang berdekatan. Setelah meredah hutan
akhirnya kancil berjumpa dengan sebatang sungai yang sangat jernih
airnya. Tanpa membuang masa Sang Kancil terus minum dengan
sepuas-puasnya. Kedinginan air sungai tersebut telah menghilangkan rasa
dahaga Sang Kancil.
Kancil terus berjalan-jalan menyusuri
tebing sungai, apabila terasa penat ia berehat sebentar di bawah pohon
beringin yang sangat rendang di sekitar kawasan tersebut. Kancil berkata
didalam hatinya “Aku mesti bersabar jika ingin mendapat makanan yang
lazat-lazat”. Setelah kepenatannya hilang, Sang Kancil menyusuri tebing
sungai tersebut sambil memakan dedaun kegemarannya yang terdapat
disekitarnya. Apabila tiba di satu kawasan yang agak lapang, Sang Kancil
terpandang kebun buah-buahan yang sedang masak ranum di seberang
sungai.”Alangkah enaknya jika aku dapat menyeberangi sungai ini dan
dapat menikmati buah-buahan tersebut” fikir Sang Kancil.
Sang Kancil terus berfikir mencari akal
bagaimana untuk menyeberangi sungai yang sangat dalam lagi deras
arusnya. Tiba-tiba Sang Kacil terpandang Sang Buaya yang sedang asyik
berjemur di tebing sungai. Sudah menjadi kebiasaan buaya apabila hari
panas ia suka berjemur untuk mendapat cahaya matahari.Tanpa
berlengah-lengah lagi kancil terus menghampiri buaya yang sedang
berjemur lalu berkata ” Hai sabahatku Sang Buaya, apa khabar kamu pada
hari ini?” buaya yang sedang asyik menikmati cahaya matahari terus
membuka mata dan didapati sang kancil yang menegurnya tadi “Khabar baik
sahabatku Sang Kancil” sambung buaya lagi “Apakah yang menyebabkan kamu
datang ke mari?” jawab Sang Kancil “Aku membawa khabar gembira untuk
kamu” mendengar kata-kata Sang Kacil, Sang Buaya tidak sabar lagi ingin
mendengar khabar yang dibawa oleh Sang Kancil lalu berkata “Ceritakan
kepada ku apakah yang engkau hendak sampaikan”.
Kancil berkata “Aku diperintahkan oleh
Raja Sulaiman supaya menghitung jumlah buaya yang terdapat di dalam
sungai ini kerana Raja Sulaiman ingin memberi hadiah kepada kamu semua”.
Mendengar saja nama Raja Sulaiman sudah menggerunkan semua binatang
kerana Nabi Sulaiman telah diberi kebesaran oleh Allah untuk memerintah
semua makhluk di muka bumi ini. “Baiklah, kamu tunggu di sini, aku akan
turun kedasar sungai untuk memanggil semua kawan aku” kata Sang Buaya.
Sementara itu Sang Kancil sudah berangan-angan untuk menikmati
buah-buahan. Tidak lama kemudian semua buaya yang berada di dasar sungai
berkumpul di tebing sungai. Sang Kancil berkata “Hai buaya sekelian,
aku telah diperintahkan oleh Nabi Saulaiman supaya menghitung jumlah
kamu semua kerana Nabi Sulaiman akan memberi hadiah yang istimewa pada
hari ini”. Kata kancil lagi “Beraturlah kamu merentasi sungai bermula
daripada tebing sebelah sini sehingga ke tebing sebelah sana”.
Oleh kerana perintah tersebut adalah
datangnya daripada Nabi Sulaiman semua buaya segera beratur tanpa
membantah. Kata Buaya tadi “Sekarang hitunglah, kami sudah bersedia”
Sang Kancil mengambil sepotong kayu yang berada di situ lalu melompat ke
atas buaya yang pertama di tepi sungai dan ia mula menghitung dengan
menyebut “Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk” sambil mengetuk
kepala buaya begitulah sehingga kancil berjaya menyeberangi sungai.
Apabila sampai ditebing sana kancil terus melompat ke atas tebing sungai
sambil bersorak kegembiraan dan berkata” Hai buaya-buaya sekalian,
tahukah kamu bahawa aku telah menipu kamu semua dan tidak ada hadiah
yang akan diberikan oleh Nabi Sulaiman”.
Mendengar kata-kata Sang Kancil semua
buaya berasa marah dan malu kerana mereka telah di tipu oleh kancil.
Mereka bersumpah dan tidak akan melepaskan Sang Kancil apabila bertemu
pada masa akan datang. Dendam buaya tersebut terus membara sehingga hari
ini. Sementara itu Sang Kancil terus melompat kegembiraan dan terus
meniggalkan buaya-buaya tersebut dan terus menghilangkan diri di dalam
kebun buah-buahan untuk menikmati buah-buahan yang sedang masak ranum
itu.
(SELESAI)